KUALA LUMPUR: Status kemajuan fasa pertama projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) melibatkan jajaran dari Lawas ke persimpangan Long Lopeng sepanjang 77 kilometer (km) dengan kos RM1.3 bilion setakat ini ialah 2.3 peratus berbanding 3.7 peratus mengikut jadual.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, projek SSLR sebenarnya melibatkan pembinaan jalan sepanjang 403 km dari Mulu ke Kampung Gelugos dan akan menghubungkan Sarawak dengan Sabah tanpa melalui negara Brunei.
“Projek itu telah bermula pada 9 Ogos 2021 dan antara kesulitan yang dihadapi dalam pelaksanaannya adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), isu penyediaan reka bentuk dan sekatan oleh penduduk sekitar,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi pada persidangan Dewan Rakyat.
Menurut Fadillah, bagaimanapun isu-isu itu telah dapat diatasi dan tidak mengakibatkan kelewatan atau menjejaskan prestasi projek.
Ahmad Johnie dalam soalan lisannya mahu KKR menyatakan apakah status SSLR dan adakah projek itu mengalami sebarang kesulitan dan menyebabkannya lambat untuk disiapkan.
Fadillah berkata, bagi cadangan pelaksanaan projek SSLR fasa dua, ia melibatkan empat pakej iaitu Mulu ke Long Seridan (45km), Long Seridan ke Nanga Medamit (92km), Long Lopeng ke Long Komap, Ba’kelalan (98km) dan Rh. Aling ke Long Merarap (91km).
Cadangan pelaksanaan projek SSLR fasa dua telah mendapat kelulusan secara prinsip berdasarkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac 2022, katanya.
Projek SSLR fasa dua, tambah beliau, dijangka bermula pada tahun 2023 dengan tempoh siap selama lima tahun.
Sumber dari : Jiwa Bakti